Image

KONSERVASI

SYARAT-SYARAT ASAS UNTUK PENYENARAIAN MONUMEN DI BAWAH SELIAAN MUZIUM NEGERI KEDAH

Menurut Akta Warisan Kebangsaan 2005, monumen dikategorikan sebagai kerja senibina, membuat arca atau mengecat monumen. Elemen atau struktur daripada jenis arkeologi, inskripsi atau gabungan ciri-ciri yang mempunyai nilai sejagat yang menonjol dari segi sejarah, seni dan juga sains.

Negeri Kedah mempunyai banyak monumen bersejarah namun beberapa peraturan dan prosedur perlu dipatuhi bagi membolehkan sesebuah monumen dipantau oleh pihak Muzium Negeri Kedah supaya sebarang konflik dapat dielakkan. Antaranya:

1. Perlu pastikan status hak milik tanah.
2.  Undang-undang yang berkaitan seperti Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dipatuhi.
3.  Perlu lakukan kajian latar belakang monumen.
4.  Perlu kemukakan cadangan serta dapatkan persetujuan Lembaga Muzium Negeri Kedah untuk menyenaraikan monumen ke senarai yang sedia ada kerana akan membabitkan kos penjagaan dan sebagainya.

Muzium Negeri Kedah melalui Unit Konservasi dan Monumen bertanggungjawab mengawasi kerosakan pada monumen selain memantau kebersihan kawasan sekitar monumen. Sehingga sekarang terdapat tujuh buah monumen telah dikawal selia dari semasa ke semasa iaitu:

1. Makam Puteri Lindungan Bulan, Mukim Siputeh, Padang Sera, Kodiang, Kedah
2.  Makam Tunku Anum, Kampung Raja, Pulau Pisang, Jitra, Kedah.
3.  Batu Terat (sempadan), Kampung Terat Batu, Mukim Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim, Kedah.
4.  Batu tanda Terusan Wan Mat Saman, kaki Gunung Jerai
5.  Makam Sultan Muhyiddin Mansor Shah, Kampung Chegar, Mukim Jeram, Tunjang, Kubang Pasu, Kedah
6.  Makam Diraja Kedah, Kampung Kota, Seberang Perai, Pulau Pinang
7.  Pusara Allahyarham Wan Yunus dan Allahyarham Tuan Haji Saleh Penaga, Jalan Raja (tepi Sungai Kedah berhampiran Balai Bomba Jalan Raja).
8.  Kubu Pertahanan British Bukit Pinang.
Image
Image

Makam Puteri Lindungan Bulan

Kota Siputeh merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Kedah Darul Aman. Kota Siputeh telah dibina oleh Tunku Ahmad ibni Sultan Muzzil Shah, Raja Muda Kedah atas arahan kekandanya Sultan Mahmud Shah I, Sultan Kedah ke-5 yang bersemayam di Sungai Mas. Siputeh telah menjadi ibu kota Kerajaan Kedah selama 297 tahun sebelum kejatuhannya pada tahun 1619 akibat serangan Raja Aceh. Sebuah makam dengan sepasang batu nisan Aceh dipercayai makam milik Tunku Zaleha, puteri Sultan Sulaiman Shah II yang memerintah di Kota Siputih (1602-1626).

Image
Image

Makam Tunku Anum

Tunku Anum adalah putera tunggal kepada Tunku Rahmah dan Tunku Abdul Rahman. Tunku Anum diputerakan pada tahun 1790 Masihi. Bondanya adalah puteri sulung Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazam Shah II iaitu Sultan Kedah ke-19. Manakala ayahandanya Tunku Abdul Rahman adalah bekas ketua di Wilayah Chenak. Tunku Anum dilantik menjadi Raja Kubang Pasu Darul Qiyam yang berpusat di Pulau Pisang pada tahun 1841.

Image
Image

Kubu Bukit Pinang

Kubu pertahanan tentera British ini dibina dilokasi penting menjelang meletusnya Perang Dunia Ke-2. Matlamat atau tujuan kubu tersebut dibina di tempat-tempat yang ditemui itu dapat dirumuskan kepada tiga tujuan:

1. Untuk mengawal dan mempertahankan Lapangan Terbang Kepala Batas, Alor Star dari serangan udara pihak musuh.
2.  Untuk mengawal dan mempertahankan Lapangan Terbang Sungai Layar, Sungai Petani.
3.  Untuk mengawasi Pantai Laut Kedah daripada pencerobohan kapal selam atau kapal perang musuh, seperti yang ditemui di Pantai Merdeka, Kuala Muda.

 

Pada bulan Disember 1941, ketika Kedah mengalami musim hujan, tentera Jepun telah memulakan serangan. Ketika ini pihak tentera British kurang bersedia kerana menjangkakan tentera Jepun tidak akan menyerang di musim hujan. Akibatnya tentera British berundur ke selatan. Kubu-kubu yang telah dibina tidak sempat digunakan kerana ketika serangan dilakukan, kesemua kubu-kubu tersebut digenangi air akibat dibina di kawasan tanah rendah dan sawah padi

Image
Image

Batu Terat (sempadan)

Batu sempadan ini terletak berhampiran Sungai Muda. Pada bahagian tengah batu ini terdapat perkataan yang ditulis dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Siam. Tulisannya ialah ‘British and Siamese Boundary’ – ‘Ini Perenggan British dan Siam’ – ‘Den Tam Pan Ni Den Thai To Kan’.

 

Batu terat ini dianggarkan dibina di awal 1820-an kerana pada 1831 tentera Siam dari Ligor telah menawan dan mentadbir Kedah.

Image
Image

Batu Peringatan Terusan Wan Mat Saman

Batu peringatan pembinaan Terusan Wan Mat Saman ini dibina oleh Muzium Negeri Kedah bagi menandakan tempat bermulanya terusan ini dikorek iaitu di kakit Gunung Jerai. Manakala batu peringatan yang berada berhampiran Sungai Kedah di Alor Setar adalah penamat kepada terusan ini.

Image
Image

Makam Sultan Muhyiddin

Makam Sultan Kedah yang ke-14, Almarhum Sultan Muhyiddin Mansor Shah yang memerintah dari 1652 hingga 1662. Baginda yang mengasaskan pusat pemerintahan Kedah ke-5 iaitu Kota Sena. Makam ini dipercayai makam baginda kerana tulisan jawi pada batu nisan itu dapat dibaca seperti berikut:

 

“Sultan Al-Haq Muyiddin bin Hussain bin Sultan bin Rijaluddin Shah bin Sulaiman Shah bin Mudzaffar Shah bin Mahmud Shah”.

Image

Makam Diraja Kampung Kota, Seberang Perai

Makam ini mula diterokai oleh Almarhum Tunku Sulaiman bini Almarhum Sultan Abdullah Mukarram Shah sebelum tahun 1821 lagi. Pada 12 November 1821, ketika armada Siam dari Ligur menyerang dan menawan Kedah, kekandanya Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan Kedah ke-22 (1804-1845) telah sempat menyelamatkan diri dari istananya di Pulau Tiga, Kuala Muda ke kawasan ini. Baginda telah diselamatkan oleh adindanya Tunku Sulaiman sebelum mendapatkan perlindungan di Pulau Pinang.

 

Kampung Kota ini juga pernah dijadikan kubu pertahanan dan pusat perjuangan Tunku Sulaiman dan pejuang-pejuang Kedah untuk melancarkan beberapa siri serangan ke atas pendudukan tentera Ligur di Kedah (1821-1839). Kawasan ini kemudiannya dijadikan tanah wakaf dan diserahkan oleh pemerintah Inggeris di Pulau Pinang kepada keluarga Tunku Sulaiman untuk dijadikan makam keluarga diraja.

 

Ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943) permohonan baginda untuk mendapatkan geran tanah makam ini seluas 20,197 ekar diluluskan oleh Residen Canselor Pulau Pinang (Skinner) pada 13 Syawal 1311 (19 Februari 1894). Antara keluarga diraja Kedah yang dimakamkan di sini yang dapat dikenalpasti ialah Tunku Sulaiman ibni Almarhum Sultan Abdullah Mukarram Shah dan Tunku Kutam.

Image
Image

Pusara Wan Yunus dan Tuan Haji Saleh Penaga

Kawasan Mahkamah Rendah di Jalan Raja dahulunya adalah tapak sebuah surau dan pusara bagi pembesar-pembesar Kedah serta kaum keluarga mereka. Jika diperhatikan, terdapat dua buah kubur seperti diapit oleh sebuah pokok besar yang terletak di tepi Sungai Kedah. Dua buah pusara ini adalah pusara seorang pembesar Kedah iaitu Allahyarham Wan Yunus dan seorang ulama iaitu Allahyarham Tuan Haji Saleh Penaga.

 

Allahyarham Tuan Guru Haji Saleh berasal dari Penaga, Seberang Perai. Beliau adalah seorang ulama, guru agama dan juga pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879), Sultan Kedah ke-24, selain turut dilantik sebagai guru agama di istana. 

 

Allahyarham Wan Yunus pula adalah seorang hakim (majistret) Kota Setar yang dilantik oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan ke-26 (1882-1943). Beliau bertanggungjawab menjaga Sungai Daun, Sungai Limau dan Sedaka (Daerah Yan). Beliau juga adalah sepupu kepada Dato’ Wan Muhammad Saman, Perdana Menteri Kedah yang pertama (1870-1898). Kejayaan sepupunya membina sebuah terusan telah menarik minat beliau untuk mengorek Sungai Limau, Sungai Daun dan Sungai Sedaka untuk menghubungkan ketiga-tiga terusan ini dengan Terusan Wan Mat Saman.