PERASMIAN JAMBATAN WAN MUHAMMAD SAMAN

 

 

       Jambatan Wan Muhammad Saman telah dirasmikan pembukaannya pada hari Rabu,14 Julai 1927 ( 3 Muharam 1345) oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Halim Shah, Sultan Kedah Darul Aman ke-26 (1882-1943). Jambatan batu ini dibina bagi mengantikan jambatan lama yang merentangi Sungai Kedah untuk menyambungkan Jalan Sungai Korok dan Jalan Raja. Nama jambatan itu mengambil sempena nama Perdana Menteri Kedah yang meninggal dunia pada 1898 kerana kejayaannya dalam projek pembinaan terusan sepanjang 35 kilometer yang dikenali sebagai Sungai Korok (terusan) Wan Mat Saman. Antara kenamaan yang hadir dalam upacara tersebut ialah YTM Tunku Mahmud (Timbalan Presiden Majlis Negeri) dan Tuan T.W. Clayton, Penasihat British di Kedah.

       Jambatan ini kekal sehingga 12 Disember 1941 sebelum dimusnahkan oleh tentera British untuk menyekat kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Selepas tamat perang, diatas runtuhan jambatan itu juga telah didirikan jambatan sementara iaitu Jambatan Balley yang kerangkanya diperbuat daripada besi dan lantainya dari kayu. Dalam tahun 1965, pembinaan sebuah jambatan telah dimulakan. Pada 22 November 1967, upacara perasmiannya telah disempurnakan oleh Almarhum DYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan nama baginda telah diabadikan kepada jambatan yang baru ini.

Upacara perasmian Jambatan Wan Muhammad Saman pada 14 Julai 1927

Jambatan Balley

*Rujukan : Dato' Wan Shamsudin bin Mohd Yusof