TUNKU MOHD YATIM DIHUKUM GANTUNG

 

 

                  Pada tarikh 2 Julai 1906, seorang kerabat diraja Kedah telah menjalani hukuman gantung sampai mati selepas 5 hari Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman iaitu pada 27 Jun 1906. Kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Tunku Mohd Yatim bersama dua orang sahabatnya amat berat kerana mereka telah menembak mati seorang ceti India. Walaupun mempunyai pertalian keluarga dengan pemerintah Kedah ketika itu iaitu Almarhum DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah, namun baginda sendiri tidak sama sekali menggunakan kuasa untuk tidak berlaku adil walaupun melibatkan keluarga sendiri.

                    Sebelum hukuman dilaksanakan, pesalah diarak mengelilingi bandar dalam pakaian serba hitam bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai. Pelaksanaan hukuman di hadapan orang ramai di satu tempat khas di Jalan Langgar. Turut hadir sama menyaksikan hukuman tersebut ialah YTM Raja Muda Kedah iaitu almarhum Tunku Abdul Aziz. Lorong menuju ke tempat pelaksanaan hukuman itu akhirnya dinamakan Lorong Penggantungan, namun kemudiannya ditukar kepada Lorong Keriang (bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma).

                    Menurut catatan Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, ketika kes itu sedang dibicarakan, kawasan Mahkamah Tinggi telah dibanjiri oleh kumpulan ceti termasuklah yang datang dari Pulau Pinang sehingga menyebabkan seluruh hotel di bandar Alor Setar habis ditempah oleh mereka.

                       

*Rujukan : Oleh Dato Wan Shamsudin bin Mohd Yusof