Rumah Tok Su

                                                                        Picture1

Pada tahun 2001, Kerajaan Negeri telah menyerahkan rumah tradisional yang berada berhampiran dengan Wisma Darul Aman iaitu Rumah Tok Su. 

Tok Su atau nama sebenarnya Che Pian Mahmud, mewarisi rumah ini daripada bapanya. Rumah ini diberi nama ‘Rumah Tok Su’ sempena memperingati jasa baik beliau di atas persetujuan menyerahkan rumah ini untuk dipelihara sebagai warisan.

Rumah Tok Su berasal dari Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Bahru, lebih kurang 200 kilometer dari Alor Setar. Rumah Tok Su ini telah mencecah usia 103 tahun. Rumah ini berkeluasan 1,700 kaki persegi serta mempunyai 34 batang tiang. Terdapat enam ruang utama iaitu beranda, rumah ibu berbumbung limas potongan Belanda dan beranjung, rumah tengah, selang, dapur dan pelantar.

Rumah Tok Su pernah dijadikan lokasi untuk mesyuarat politik dan pertemuan anggota Pergerakan Barisan Pemuda yang memperjuangkan bangsa Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Kini, Rumah Tok Su menjadi lokasi untuk penyelidikan pelajar institut pengajian tinggi yang mengambil jurusan seni bina. Pengurusan rumah-rumah itu kini diletakkan di bawah Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman dan sering juga dijadikan lokasi penggambaran filem, majalah serta dokumentari.